,

Cara & Panduan Mendaftar Sijil/Status IKS/PKS/SME [Updated 2023]

Bermula pada pertengahan bulan Mac 2020, SME Corp. Malaysia telah melaksanakan inisiatif untuk mengesahkan sama ada perniagaan/syarikat yang telah berdaftar adalah berstatus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ataupun tidak. Pengesahan status PKS yang dilaksanakan secara atas talian akan memudahkan syarikat/perniagaan daripada mengemukakan dokumen atau maklumat yang sama berulang kali kepada pihak yang berkaitan untuk mengesahkan status PKS syarikat/perniagaan. Sebagai pengenalan, berikut disertakan penerangan lanjut berkenaan Pendaftaran Status PKS dalam format FAQ
SISTEM PENDAFTARAN STATUS PKS
SOALAN-SOALAN LAZIM (FAQ)

1. Apakah itu Sistem Pendaftaran Status PKS?
Sistem Pendaftaran Status PKS merupakan inisiatif baharu yang dibangunkan oleh SME Corp. Malaysia bagi mengesahkan sesuatu syarikat / perniagaan adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Status ini adalah bagi memastikan setiap PKS yang memohon untuk mengikuti program atau mendapatkan bantuan dan insentif yang ditawarkan khas untuk PKS memenuhi definisi nasional yang telah ditetapkan oleh Kerajaan melalui Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan. Sila rujuk kepada definisi PKS di pautan berikut: Definisi PKS

2. Adakah Sijil Akuan Status PKS ini satu keperluan atau peraturan wajib bagi PKS menjalankan perniagaan di Malaysia?
Sijil Akuan Status PKS ini adalah satu perakuan status yang ditawarkan oleh SME Corp. Malaysia bagi memudahkan perniagaan menyertai program atau memohon insentif dan bantuan untuk PKS. Sijil ini bukan satu keperluan atau peraturan wajib untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.

3. Adakah Sijil Akuan Status PKS ini melayakkan sesuatu syarikat / perniagaan mendapat bantuan dan insentif bagi PKS secara automatik?
Sijil Akuan Status PKS bertujuan untuk mengesahkan saiz firma sebagai PKS. Syarikat / perniagaan yang mendapat status ini layak dipertimbangkan bagi mengikuti program serta mendapatkan bantuan dan insentif khas bagi PKS. Namun ini tidak memberi kelulusan automatik bagi syarikat / perniagaan untuk menyertai program atau mendapat insentif, kemudahan kewangan dan sebagainya memandangkan kemudahan dan fasilitasi sebegini secara lazimnya mempunyai kriteria kelayakan lain yang perlu dipenuhi bergantung kepada objektif program.

4. Siapakah yang layak untuk mendaftar melalui sistem pendaftaran ini?
Entiti perniagaan dalam semua sektor ekonomi yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), badan pendaftar perniagaan atau pihak berkuasa tempatan yang berkaitan (bagi Sabah dan Sarawak) serta badan berkanun (bagi pembekal perkhidmatan professional).

5. Bagaimanakah cara untuk mendaftar melalui sistem pendaftaran ini?
Syarikat / perniagaan boleh melayari laman web SME Corp. Malaysia atau klik di pautan SME Status Registration System Berikut adalah langkah-langkah untuk mendaftar:

Daftar akaun baharu
Isi maklumat yang diperlukan
Muat naik dokumen berkaitan
Tanda borang pengakuan dan tekan butang ‘Hantar’

6. Apakah panduan yang boleh syarikat / perniagaan rujuk untuk membuat pendaftaran?
Syarikat / perniagaan boleh memuat turun Manual Pengguna sebagai rujukan. Manual ini merupakan panduan menyeluruh bagi memudahkan proses pendaftaran Status PKS. Manual ini turut memberi contoh-contoh dokumen yang diperlukan bagi melengkapkan permohonan.

7. Apakah dokumen yang perlu dimuat naik ke dalam sistem ini?
Terdapat empat (4) dokumen yang perlu disediakan untuk dimuat naik bagi syarikat Sendirian Berhad (entiti perniagaan yang berdaftar dengan Pendaftar Syarikat [ROC]), perniagaan Enterpris (entiti perniagaan yang berdaftar dengan Pendaftar Perniagaan [ROB]) dan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) (entiti perniagaan yang berdaftar di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012). Dokumen-dokumen tersebut adalah:

Borang pendaftaran perniagaan/syarikat SSM yang terkini
Pendaftaran di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956:
Borang D (Sijil Pendaftaran) & Profil perniagaan
Pemerbadanan Syarikat di bawah Akta Syarikat 2016:
Sijil Perbadanan Syarikat (Seksyen 15) & Profil syarikat
Pendaftaran Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012:
Notis Pendaftaran atau Sijil Pendaftaran PLT & Profil PLT
Syarikat Sendirian Berhad perlu mengemukakan salinan lengkap Penyata Kewangan Beraudit yang terkini samada tahun semasa atau tahun sebelumnya. Perniagaan Enterpris dan PLT pula perlu mengemukakan Penyata Untung Rugi atau Akaun Pengurusan (management account) semasa yang cukup dua belas (12) bulan.
Syarikat Sendirian Berhad dan Perniagaan Enterpris dan PLT perlu mengemukakan Penyata Caruman KWSP terkini.
Semua syarikat Sendirian Berhad, perniagaan Enterpris dan PLT perlu mengemukakan Maklumat Pemilik Syarikat yang terkini dan Maklumat Pemegang Saham yang menyenaraikan pemilikan saham dan jumlah saham syarikat.

8. Syarikat saya berdaftar kurang daripada setahun (entiti baharu), bolehkah saya meneruskan pendaftaran Status PKS? Apakah dokumen yang perlu saya lampirkan?
Syarikat masih boleh meneruskan pendaftaran Status PKS. Dokumen yang perlu dilampirkan adalah sama mengikut panduan yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun syarikat diberi pengecualian mengemukakan Penyata Kewangan Beraudit. Syarikat perlu mengemukakan Penyata Untung Rugi / Akaun Pengurusan semasa. Sekiranya syarikat tidak mempunyai dokumen tersebut bolehlah melampirkan Penyata Akaun Bank syarikat yang sahih. Bagi dokumen lain, masih perlu mengikut panduan yang telah ditetapkan.

9. Syarikat yang telah saya daftarkan di SSM hanya mempunyai pemegang amanah dan bukannya pemegang saham. Bolehkah saya meneruskan pendaftaran Status PKS?
Syarikat yang mempunyai pemegang amanah adalah dikategorikan sebagai syarikat berhad menurut jaminan (CLBG). Berdasarkan Akta Syarikat 2016, CLBG adalah tidak bermotifkan keuntungan dan bukannya merupakan entiti perniagaan yang tulen. Dalam hal ini, syarikat tidak perlu meneruskan pendaftaran Status PKS kerana status ini hanyalah untuk entiti perniagaan tulen sahaja.

10. Apakah dokumen yang membuktikan syarikat / perniagaan adalah berstatus PKS?
Bagi syarikat / perniagaan yang telah berdaftar dan disahkan berstatus PKS, SME Corp. Malaysia akan mengeluarkan Sijil Akuan Status PKS (secara digital) setelah syarikat / perniagaan membuat bayaran sebanyak RM100.00. Sijil Perakuan ini mempunyai tempoh sah laku selama dua (2) tahun.

11. Berapakah bayaran yang dikenakan bagi mendapatkan status PKS ini?
Bayaran RM100 akan dikenakan (yuran pemprosesan permohonan) bagi pendaftaran baru dan juga pembaharuan sijil bagi sistem Pendaftaran Status PKS. Sijil Akuan ini mempunyai tempoh sah laku selama dua (2) tahun.

12. Sijil Akuan Status PKS mempunyai tempoh sah laku selama dua (2) tahun.
Sekiranya syarikat telah melangkau (graduate) daripada definisi PKS sebelum tamat tempoh 2 tahun tersebut, adakah Sijil Akuan Status PKS ini masih terpakai? Sesebuah syarikat / perniagaan dianggap telah melangkau (graduate) daripada definisi PKS sekiranya melebihi paras ambang (threshold) yang ditetapkan di bawah kedua-dua kriteria jumlah jualan tahunan dan bilangan pekerja sepenuh masa bagi tempoh dua (2) tahun berturut-turut. Dalam tempoh sah laku tersebut, sekiranya terdapat perubahan kepada kedua-dua kriteria atau struktur pegangan saham akan menyebabkan syarikat / perniagaan tersebut bukan lagi PKS. Maka, Sijil Akuan Status PKS adalah terbatal secara automatik.

13. Saya merupakan seorang akauntan dan telah berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA). Adakah saya boleh meneruskan pendaftaran Status PKS memandangkan firma saya tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)?
Pembekal perkhidmatan professional (seperti doktor / doktor gigi / peguam / akauntan / auditor dan sebagainya) yang tidak berdaftar dengan SSM boleh meneruskan pendaftaran Status PKS. Mereka perlu mengemukakan dokumen pendaftaran dengan Badan Berkanun yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) / Badan Peguam Malaysia (Bar Malaysia) / Institut Akauntan Malaysia (MIA) / Institut Audit Dalam Malaysia (IIA Malaysia) dan sebagainya. Dokumen lain yang perlu dilampirkan adalah seperti berikut:

Penyata Untung Rugi tahun semasa atau akaun pengurusan (management account) selama 12 bulan.
Penyata Caruman KWSP terkini
Dokumen pemilikan firma bagi pemilik melebihi satu (1) orang, sekiranya ada

Sekiranya firma adalah berdaftar dengan SSM, dokumen pendaftaran SSM perlu dikemukakan dan dokumen yang perlu dilampirkan adalah berdasarkan kategori syarikat / perniagaan.

14. Berapa lamakah tempoh masa yang diambil bagi mendapatkan maklum balas berkenaan permohonan yang dikemukakan?
Sekiranya permohonan yang dikemukakan adalah lengkap, maklum balas akan diberi dalam tempoh masa sepuluh (10) hari bekerja.

15. Adakah Sijil Akuan Status PKS boleh diperbaharui secara automatik selepas tamat tempoh sah laku selama dua (2) tahun?
Pembaharuan Sijil Akuan Status PKS tidak boleh diperbaharui secara automatik. Syarikat / perniagaan perlu membuat permohonan baharu dan mengikut semua langkah proses permohonan.

16. Saya mendapati permohonan ini agak sukar untuk dilengkapkan. Adakah SME Corp. Malaysia mempunyai ejen atau wakil yang dilantik untuk membantu syarikat / perniagaan melengkapkan permohonan?
SME Corp. Malaysia tidak pernah melantik sebarang ejen atau wakil untuk melengkapkan permohonan bagi pihak syarikat/perniagaan. Syarikat / perniagaan boleh merujuk kepada Manual Pengguna yang disediakan untuk panduan terperinci bagi mendaftar status PKS syarikat / perniagaan.

17. Adakah Sijil Akuan Status PKS ini boleh ditarik balik oleh SME Corp. Malaysia sebelum tamat tempoh sah laku dua (2) tahun?
SME Corp. Malaysia berhak untuk menarik balik Sijil Akuan Status PKS ini sebelum tamat tempoh sah laku dua (2) tahun sekiranya terdapat pemalsuan dokumen, pemberian maklumat tidak tepat, perubahan struktur pegangan saham syarikat dan lain-lain sebab yang munasabah.

18. Siapakah yang boleh saya hubungi sekiranya terdapat masalah berkaitan permohonan saya?
Pemohon boleh menghubungi Talian Info SME Corp. Malaysia di 1300-30-6000 (Isnin hingga Jumaat dari 9:00 pagi – 5:00 petang) atau melalui emel ke statuspks@smecorp.gov.my.